Tiada kompromi terhadap rakyat asing guna bahasa biadab
KUALA LUMPUR 27 April - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan rakyat asing yang memohon mendapatkan hak kewarganegaraan Malaysia tetapi tidak fasih berbahasa Melayu atau cenderung bertutur menggunakan bahasa biadab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap pemohon kewarganegaraan tertakluk kepada Perkara 15 , 16, 19 dan 30 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya mensyaratkan mereka harus tahu menggunakan bahasa Melayu secara betul.
"Saya bersetuju dengan pandangan bahawa perkara paling asas yang perlu ada (pada pemohon) ialah penggunaan bahasa yang tidak biadab dan fasih apabila berbual dalam bahasa Melayu," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sidang Dewan Negara hari ini.
Firdaus bertanyakan standard atau ukuran bahasa Melayu yang digunakan bagi menguji pemohon yang ingin menjadi warganegara.
Beliau turut meminta kerajaan meningkatkan standard yang digunakan kerana ramai individu yang telah diberi kerakyatan tidak fasih berbahasa Melayu atau menggunakan bahasa kebangsaan secara biadab termasuk menggunakan ganti nama "kamu" apabila bercakap dengan warga emas.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan, Senator Datuk Sim Kheng Hui, Hishammuddin berkata, langkah mempercepatkan permohonan kewarganegaraan adalah salah satu daripada empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata, kementerian pada Oktober lalu berjaya menyelesaikan 32,927 permohonan kewarganegaraan yang tertunggak bagi tempoh 1997 hingga 2006 iaitu dua bulan lebih awal dari tarikh ditetapkan pada Disember tahun lalu.
Pada sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin mengulangi jaminannya bahawa mulai tahun ini, kementerian menetapkan sasaran setiap permohonan kewarganegaraan yang lengkap akan dimaklumkan keputusannya dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun daripada tarikh permohonan.
"Ini merangkumi tempoh masa untuk pemprosesan dokumen, sesi ujian, temu duga dan tapisan keselamatan," katanya.
Tambah beliau, langkah mempercepatkan proses kelulusan kerakyatan tidak bermakna syarat sedia ada akan dilonggarkan kerana taraf kewarganegaraan adalah keistimewaan dan bukan hak.
"Keistimewaan ini hanya boleh dianugerahkan kepada individu yang menepati syarat dan kriteria ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan