Sabtu, 1 Mei 2010

Hak warganegara


ARKIB : 28/04/2010

Tiada kompromi terhadap rakyat asing guna bahasa biadab

KUALA LUMPUR 27 April - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan rakyat asing yang memohon mendapatkan hak kewarganegaraan Malaysia tetapi tidak fasih berbahasa Melayu atau cenderung bertutur menggunakan bahasa biadab.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap pemohon kewarganegaraan tertakluk kepada Perkara 15 , 16, 19 dan 30 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya mensyaratkan mereka harus tahu menggunakan bahasa Melayu secara betul.

"Saya bersetuju dengan pandangan bahawa perkara paling asas yang perlu ada (pada pemohon) ialah penggunaan bahasa yang tidak biadab dan fasih apabila berbual dalam bahasa Melayu," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sidang Dewan Negara hari ini.

Firdaus bertanyakan standard atau ukuran bahasa Melayu yang digunakan bagi menguji pemohon yang ingin menjadi warganegara.

Beliau turut meminta kerajaan meningkatkan standard yang digunakan kerana ramai individu yang telah diberi kerakyatan tidak fasih berbahasa Melayu atau menggunakan bahasa kebangsaan secara biadab termasuk menggunakan ganti nama "kamu" apabila bercakap dengan warga emas.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan, Senator Datuk Sim Kheng Hui, Hishammuddin berkata, langkah mempercepatkan permohonan kewarganegaraan adalah salah satu daripada empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata, kementerian pada Oktober lalu berjaya menyelesaikan 32,927 permohonan kewarganegaraan yang tertunggak bagi tempoh 1997 hingga 2006 iaitu dua bulan lebih awal dari tarikh ditetapkan pada Disember tahun lalu.

Pada sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin mengulangi jaminannya bahawa mulai tahun ini, kementerian menetapkan sasaran setiap permohonan kewarganegaraan yang lengkap akan dimaklumkan keputusannya dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun daripada tarikh permohonan.

"Ini merangkumi tempoh masa untuk pemprosesan dokumen, sesi ujian, temu duga dan tapisan keselamatan," katanya.

Tambah beliau, langkah mempercepatkan proses kelulusan kerakyatan tidak bermakna syarat sedia ada akan dilonggarkan kerana taraf kewarganegaraan adalah keistimewaan dan bukan hak.

"Keistimewaan ini hanya boleh dianugerahkan kepada individu yang menepati syarat dan kriteria ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kenyataan Akhbar Tempatan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0427&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm&arc=hive

ARKIB : 27/04/2010

Wanita bantah pengesahan nikah lelaki Pakistan, dakwa disihir

KUALA LUMPUR 26 April - Seorang wanita yang menuntut di sebuah universiti di United Kingdom membantah permohonan pengesahan nikah yang difailkan oleh suaminya, seorang lelaki warga Pakistan atas alasan dia disihir.

Yani Yuhana Mohd. Zambri (gambar), 24, dari Terengganu mendakwa dia berada dalam keadaan luar kewarasan sekiranya dia benar-benar bernikah seperti didakwa oleh pemohon, Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46.

Dalam afidavit bantahannya, Yani yang mengendalikan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di sini tanpa peguam, mendakwa dia dilarikan oleh pemohon ke Pakistan tanpa kerelaan dan dipaksa bernikah di luar sedar.

Yani selaku responden turut memohon agar pasport antarabangsanya yang disimpan oleh pemohon dipulangkan semula untuk memastikan dakwaan yang mengatakan dia pernah ke Pakistan.

Terdahulu, dalam keterangan Muhammad Kamran mendakwa tiada paksaan berlaku ketika dia dan Yani menikah di Sadiqadad Raw, Pakistan pada April tahun lalu.

Menurut Muhammad Kamran yang isteri pertamanya adalah warga tempatan, pernikahan itu berlangsung di Pakistan kerana Yani sedang menuntut di UK dan tiada restu ibu bapanya.

''Saya bertolak dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi, sementara Yani berangkat dari UK ke Abu Dhabi dan selepas itu, kami berdua ke Pakistan dalam penerbangan yang sama.

''Kami tinggal di sana selama 14 hari. Selepas itu Yani pulang ke UK untuk meneruskan pengajian dan saya pula balik ke Malaysia meneruskan perniagaan,'' katanya yang memiliki perniagaan tekstil di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

Lelaki itu memberikan keterangan dalam bahasa Inggeris ketika disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Ainon A. Rahman.

Ditanya mengenai hubungannya dengan responden selepas berumahtangga, Muhammad Kamran memberitahu, Yani seorang isteri yang patuh, tiada masalah dalam perhubungan mereka termasuk hubungan kelamin.

Sejurus kenyataan berhubung hubungan kelamin itu diucapkannya, ayah responden yang duduk di galeri awam kedengaran mengucapkan kalimah 'Allahuakbar' dengan nada kesal bercampur marah.

Keadaan menjadi kecoh seketika apabila ahli keluarga responden termasuk ibu dan adik beradiknya dilihat tidak dapat mengawal emosi mereka.

Ditanya pula mengapa responden membantah permohonan pengesahan nikah yang dikemukakannya, Muhammad Kamran mengatakan mungkin Yani diugut oleh bapanya.

Muhammad Kamran turut mengemukakan 40 keping gambarnya dan responden yang diambil di tempat-tempat berlainan ketika sesi memperkenalkan isteri barunya itu kepada ahli keluarga.

Terdahulu Muhammad Kamran mendakwa dia mengenali Yani melalui adik wanita itu yang pernah bekerja di kedai tekstilnya.

Dia turut mengakui mengenali ibu bapa responden dan pernah berbual dengan mereka beberapa kali.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abd Latif bersambung 1 Jun ini.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm


NEGARA

Wanita bantah sah nikah


YANI YUHANA hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sebuah universiti di United Kingdom mendakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bahawa dirinya dipukau dan disihir supaya bernikah dengan seorang peniaga kain warga Pakistan tahun lalu.

Sehubungan itu, Yani Yuhana Mohd. Zamri, 24, dari Terengganu membantah sekeras-kerasnya permohonan Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46, untuk mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah syariah di sini.

Yani selaku responden dalam permohonan tersebut juga mendakwa pemohon (Muhammad Kamran) berniat untuk memuaskan nafsunya saja.

"Saya dibawa lari ke Pakistan tanpa kerelaan dan tidak sedar ketika berkahwin," katanya semasa disoal peguam syarie, Ainon A. Rahman.

Dia juga memohon supaya pasport yang disimpan oleh Muhammad Kamran dipulangkan kembali kerana ingin meneliti dakwaan dia ke Pakistan.

Ainon mewakili Muhammad Kamran manakala peguam syarie, Amli Embong yang sepatutnya mewakili Yani telah menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.

Terdahulu, Muhammad Kamran, selaku saksi pertama yang memberi keterangan berkata, dirinya sebelum ini telah berkahwin dengan seorang wanita dari Kelantan dan dikurniakan enam orang anak.

Pada tahun 2007, pemohon yang juga menganut mazhab Hanafi mendakwa telah dipertemukan dengan responden di pasar raya Giants di Batu Caves dekat Selayang oleh adik responden yang bekerja di kedai tekstilnya.


'Saya disihir'

Oleh Murni Wan Omar

2010/04/27
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa terkena sihir ilmu hitam warga Pakistan sehingga dia menurut bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’ apabila diculik dan dibawa berkahwin mengikut mazhab Hanafi di negara asal lelaki itu.

Yani Yuhana Mohd Zambri, 24, (responden) berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap permohonan Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46, (pemohon) yang membuat permohonan mendaftarkan perkahwinan mereka didakwa berlaku di Pakistan pada 2 April 2009.


Terdahulu, Yani Yuhana menimbulkan isu berhubung pasport perjalanannya dipegang Muhammad Kamran kerana mahu melihat sendiri dokumen perjalanan kerana dia menaiki penerbangan dari United Kingdom, sebelum bertemu lelaki itu di Abu Dhabi dan ke Islamabad.


“Saya sukar menafikan berada di Pakistan, kerana keadaan tidak waras mempengaruhi. Pemergian ke luar negara seorang diri adalah mustahil. Oleh itu saya mohon barangan peribadi saya termasuk pasport yang sebelum ini disimpan Muhammad Kamran diserahkan semula.


“Saya ingat ada nampak dia (Muhammad Kamran) di lapangan terbang tetapi tidak pasti, sebab itu saya mohon pasport kerana mahu lihat sendiri perjalanan dalam dokumen itu. Saya membantah sekeras-kerasnya permohonan Muhammad Kamran mengatakan saya melakukannya dengan rela,” katanya.


Yani berkata, ibu bapa dan keluarganya lebih mengetahui perubahan dirinya dan mustahil tindakan dilakukan itu serta bersumpah dia dianiaya dengan dikenakan ilmu hitam.


“Penyataan pemohon yang mengatakan saya takut dengan ibu bapa sehingga tidak memaklumkan mereka berkahwin tidak benar. Mereka (ibu bapa) terbaik sehingga menyelamatkan dan membawa saya mendapatkan rawatan, berbanding pemohon yang hanya memuaskan nafsu.


“Keluarga dinasihati polis dan pengamal perubatan supaya saya dipulihkan terlebih dulu. Yang Arif, perkahwinan ini dilakukan secara paksa serta di luar kemahuan. Ia penganiayaan terhadap diri, maruah serta masa depan saya,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Kamran diwakili peguam syarie Ainon A Rahman mendakwa perkahwinan berlaku di dalam mahkamah di Pakistan dengan kehadiran kedua-dua pengantin serta dua saksi dan mengikut mazhab Hanafi tidak memerlukan wali.

“Pernikahan kami dijalankan Pendaftar Perkahwinan di dalam mahkamah di Rawalpindi, Pakistan. Saya ada membawa surat pengakuan nikah dan gambar kami melawat saudara-mara di beberapa tempat di sana selepas majlis pernikahan. Yuna tinggal di Pakistan selama 14 hari.


“Yani membantah permohonan saya mendaftarkan perkahwinan kerana dia takut kedua ibu bapanya tahu. Ketika itu dia masih belajar di United Kingdom dan saya mahu meraikan perkahwinan kami di Pakistan,” katanya yang mempunyai perniagaan kain di sini.


Berhubung isu pasport, Muhammad Kamran mendakwa tidak mengetahui di mana pasport Yani berada dan keadaan itu menimbulkan ketegangan kerana sebelum ini mahkamah didakwa mengeluarkan perintah pasport itu diserahkan.


Muhammad Kamran dalam keterangannya berkata, dari awal lagi, dia memaklumkan kepada Yani bahawa dia berkahwin dengan wanita di Rantau Panjang, Kelantan dan mempunyai enam anak dan wanita itu mengatakan dengan rela hati mahu berkahwin dengannya.

“Selepas perkahwinan, Yuna adalah isteri yang baik, selain periang serta taat kepada saya. Selepas 14 hari berada di Pakistan dia pulang ke United Kingdom dan saya yang mempunyai taraf penduduk tetap pulang ke Malaysia. Dia datang menemui saya pada 17 Oktober 2009 sebelum dibawa lari keluarga dan putus hubungan sejak 26 Oktober 2009,” katanya.
Menjawab pertanyaan peguam, Muhammad Kamran mendakwa tidak ada unsur penipuan dalam perkahwinannya dan dia mengenali keluarga Yuna dengan baik.


“Saya seorang Islam, saya tidak akan lakukan sihir terhadap Yuna. Saya tidak menculik dia untuk berkahwin tetapi dia melakukan dengan rela hati. Saya pernah bertanya kepada ibunya tetapi dia mengatakan tidak menjanjikan apa-apa.


“Pertama kali saya berjumpa dengan Yuna adalah di Giant, Batu Caves, melalui adiknya yang bekerja di gerai milik saya. Saya juga kenal ibu bapa Yuna kerana keluarganya kerap datang ke gerai saya di Mydin, Terengganu. Selain berbual, saya juga ada memberi selendang dan sebagainya,” katanya.


Hakim Kanan Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Radzi Abdul Latif menetapkan 1 Jun ini untuk sambung perbicaraan.


Kebiadapan WARGA ASING di Malaysia

KEBIADABAN WARGA ASING DI BUMI KITA

Petikan sebahagian dari repot asal : Selasa. 02 Mac 2010. Mahkamah Tinggi Syariah Malaysia Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Dalam kamar mahkamah, pihak yang menganiayai saya iaitu MUHAMMAD KAMRAN BABAR BIN NAZIR KHAN, masih enggan menyerahkan segala dokumen peribadi saya seperti passport antarabangsa, kad pelajar university di (luar Negara, hard disk serta barang-barang lainnya setelah di perintahkan Yang Arif Tuan Hakim XXXXX..

Saya merasa benar-benar tercabar oleh kerana beliau bukan sahaja memalukan saya dan keluarga tetapi juga telah bersikap melampau dengan menghantar kuncu-kuncunya yang tidak saya kenali ke rumah saya di Terengganu.Dan pada hari ini dia telah membawa bersama 2 org yang berpewatakan seperti samseng yang saya yakin adalah warga asing berketurunan Pakistan ke mahkamah. Saya hilang sabar apabila saya melihat cara mereka memandang saya sambil bercakap dalam bahasa mereka yang langsung tidak saya fahami.Kemuncak kesabaran saya hilang.

Akhirnya, saya telah menumbuk muka dia beberapa kali serta menghayunkan beg tangan saya ke mukanya juga.Kejadian ini turut di saksikan oleh mereka-mereka yang berada di kawasan pintu utama mahkamah lebih kurang jam 11.00 pagi termasuk beberapa anggota polis yang bertugas di situ. Tindakan saya hari ini adalah sebagai bukti saya tidak pernah setuju akan tindakan dia terhadap saya dan keluarga yang kini mengheret saya ke mahkamah dan ini adalah langkah saya untuk membela diri dan maruah saya sebagai seorang perempuan warganegara Malaysia yang beragama Islam.

NUKILAN KISAH BENAR KELUARGA PAK GURU ZAMBRI

Wahai bangsaku dan anak watan negaraku, disini saya ingin dan tersangat mengharapkan bantuan dan keprihatinan dari hati semua yang membaca untuk bersama-sama saya dan keluarga dalam mempertahankan dan memperjuangkan musibah malang ujianNya yang telah menimpa.Saya menulis sesuatu yang bukan lagi rahsia ini, lantaran sikap biadap dan keterlaluan warga asing yang apabila menyebut nama bangsa ku sering dengan nada sinis iaitu orang me…LAYU. Bangsaku seolah terpinggir di bumi sendiri sebagai lebai Malang yang “Menang sorak kampung tergadai” dan ibarat “Itik di air mati kehausan, ayam dikepuk mati kelaparan” .Keperkasaan warga asing dibumi kita ini jelas ketara berkuasa dan terus gah mendabik dada.Mereka tidak gentar untuk melakukan kemungkaran dan maksiat kerana pada mereka bumi kita ini hanya tempat mencari apa yang sempat dan negara asal mereka adalah kubu berlindung yang selamat untuk lari menyelamatkan identiti agar tidak mudah dicari dan dijejaki.Warga asing ini secara terang-terangan berani mencabar kedaulatan ketuanan anak watan.Mereka tidak gentar dengan hukum-hakam apatah lagi soal halal&haram, mereka tidak tergugat akan akta keselamatan dalam negara kerana mereka ada tempat, ruang dan negara sendiri untuk melarikan diri.Mereka merasa selamat dan dilindungi dek kerana keistimewaan layanan sebagai ‘tetamu’ yang kononnya mereka menyumbang tenaga dan idea menolong membangunkan negara kita.Namun saudaraku sekalian, bagiku, mereka warga asing ini boleh di kategorikan sebagai ‘berak dalam pinggan’ bilamana membuat onar dan masaalah.

Wahai warga asing, datangmu bukan sebagai ‘pelabur’ tetapi ‘pelebur .Bukan sebagai ‘pelajar’ yang datang mencari ilmu tetapi petualang biadab yang kurang ajar.Bukan sebagai peniaga yang amanah tetapi sebagai perampas yang rakus menindas.

Amatlah sedih dan pilu mengenangkannya, saya berdepan dengan kenyataan dan realiti perlakuan warga asing yang telah menganiayai saya sekeluarga.Saudaraku semua, di dunia tanpa sempadan ini, izinkan saya mendedahkan musibah yang dipikulkan oleh Allah SWT kepada saya. Diluar sana, mungkin ada yang lebih terseksa dari saya sekeluarga, sepertinya musibah yang menimpa adik Shalini dan adik Nurin Jazli, yang mana hati kecil saya berkata, seandai pelaku itu anak watan , amat mustahil mereka gagal dikesan.Ataukah mereka lah warga asing yang hanya bertandang seketika?Apakah bayi tidak berdosa yang dipersia dilonggokan sampah sarap itu mungkin dari angkara jejaka asing yang memusnahkan harapan wanita tempatan laksana ‘habis manis sepah dibuang’. Masih diluar sana, mungkin ada yang senasib dengan saya dan pertolongan semua amatlah diharapkan untuk suatu lonjakan bukti ketuanan kita. Walaubagaimana pun, saya yakin bahawa Allah SWT Mahakuasa lagi Mahabijaksana tidak akan menzalimi hambaNya.Apabila sedar datangnya dugaan ini, langkah pertama ialah memohon pertolongan Allah SWT agar setiap tindakan saya mendapat keredhaanNya.Dengan kerendahan diri terhadap Pencipta, saya memohon doa restu bersolat hajat berjemaah di masjid selepas Solat Jumaat di dua buah masjid dua minggu berturut-turut. Selaku hambaNya, saya mengadu kepada Dia terlebih dahulu untuk memudahkan urusan dengan hamba-hambaNya yang lain di dunia ini. Pada saya, setiap apa yang di takdirkan Allah SWT, tiada yang silap dan berlaku atas kudrat dan iradatNya.Hanya Dia yang MahaMengetahui akan sebab dan kerana sesuatu hal kejadian itu. Demi prinsip dan pegangan inilah, saya dedahkan dipersada alam maya ini berserta harapan menggunung akan bantuan dari semua saudara seagamaku, sebangsaku, dan senegaraku.

Saya dikurniakan lapan orang anak penyambung zuriat.Mereka adalah anugerah paling berharga untuk saya .Saya membentuk mereka agar sentiasa tidak putus hubungan dengan Allah swt dan Rasul saw.Alhamdullillah.Pada tahun 2006,anak sulung saya salah seorang yang telah dipilih Allah swt untuk menitiskan keringat di tanah Mina,Mekah sebagai jurutera yang membina semula Kompleks Jamrah tempat melontar di musim haji.Anak kedua saya (lelaki) seorang pendidik.Anak ketiga saya (perempuan) seorang doktor.Anak keempat saya (perempuan) telah menyambung peringkat ijazah ke luar negara dengan kecemerlangan sebagai ‘dean list student’ peringkat diplomanya(Dia inilah yang telah menjadi mangsa warga asing). Anak kelima saya (perempuan),kini bekerja di Jabatan Kerajaan.Anak keenam saya (perempuan),masih dalam pengajian di bidang Farmasi.Anak ketujuh saya (lelaki), kini baru berusia 16 tahun,adalah diantara pelajar terbaik dari Sekolah Agama Terbaik Malaysia PMR 2009.Anak saya adalah salah seorang dari 81% pelajar yang mendapat 9A di sekolah beliau. Lebih membanggakan ialah lebih dari 64% pelajar 9A ini ialah mereka yang HAFAZ 30 JUZUK AL-QURAN.Alhamdulillah, anak ketujuh saya mampu menurut jejak arwah datuknya.Anak kelapan saya (lelaki) masih kecil dan baru di darjah satu.

.Saya mengizinkan anak-anak perempuan saya melibatkan diri membuat kerja sambilan seperti menjadi juru jual dan pekerja kedai makan bagi membantu kewangan keluarga.Pada ketika inilah keluarga saya mula kenal seorang warga Pakistan bernama Kamran yang menjalankan perniagaan tudung dan textile.Saya tidak mencuriagai apa-apa kerana berpegang kepada prinsip persaudaraan sesama Islam.Meski pun jarak dari rumah saya dengan Mydin Mall tidak berapa jauh, saya tetap menghantar dan mengambil mereka setiap hari demi tanggung jawab seorang ayah.Anak keempat saya yang telah menjadi mangsa Kamran pernah menolong dan menjaga kedai tudungnya di Mydin Mall, K.Trg ketika cuti semester dan selepas tamat pengajian peringkat diploma (sementara menanti tawaran belajar seterusnya).Anak saya ini kemudiannya mendapat tawaran peringkat ijazah di sebuah IPTA terkemuka tetapi dalam jurusan lain, oleh itu beliau berusaha untuk tukar jurusan dengan proses ‘tranfer credit’ tetapi tidak berjaya .

Wahai saudaraku,di sinilah mulanya Kamran memainkan taktik kotor dan keji yang kononnya mahu membantu anak saya membuat niaga sambilan di IPTA tersebut. Kamran mengambil peluang untuk sering berjumpa dengan anak saya dengan alasan membekalkan tudung untuk di jual.Dan tidak ketinggalan membawa makanan kononnya mengikut budaya ketimuran dengan sentiasa membawa buah tangan.Setelah apa yang terjadi kini, saya yakin anak saya telah diperdaya dan di’ilmuhitam’kan si warga asing.Anak keempat saya ini lahir pada tahun 1986, telah terbukti sebagai salah seorang pelajar pintar di sepanjang alam persekolahan sehinggalah menjejakkan kaki ke kolej dan IPTA.Semasa di IPTA tersebut, pihak kolej telah mendapat kerjasama dari Universiti luar negara yang bersetuju mengiktiraf diploma sedia ada dan menerima anak saya untuk terus belajar di tahun akhir peringkat ijazah dengan kemudahan ‘tranfer credit’.Sebagai bapa, peluang belajar ini perlu saya berikan kepada anak saya .

Dalam masa yang sama, alhamdulillah, anak sulung telah dipertemukan dengan jodoh dan melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008, walaupun dalam keadaan masih gagal mendapat sebarang bantuan kewangan kerana nama telah disenaraihitamkan oleh bank XXXX. Atas dasar hubungan perniagaan yang ada, saya telah meminjam dari Kamran sebanyak RM2,500.00 untuk menampung kos kenduri itu.Kamran ini ada bersama dimajlis kenduri anak sulung saya dan apabila dia tergamak memalukan saya sekaligus menghina,manusia jenis apakah begini?Tidak cukup dengan kepura-puraan itu.Kamran juga mengatakan dia boleh dapatkan biasiswa MARA untuk anak saya belajar di luar negara.Kamran seterusnya telah memperkenalkan kami dengan ‘abang angkat’nya dikenalkan sebagai bekas polis berpangkat tinggi.Adalah wajar untuk kita ‘orang awam’mempercayai polis .

Sebagai bapa, saya tetap berusaha mendapatkan biaya untuk anak saya belajar.Anak sulung saya amat sedih dan kecewa kerana tidak berupaya membantu adiknya lantaran namanya masih disenaraihitamkan . Apabila anak ketiga saya menerima gaji pertamanya, (baru bekerja) slip gaji itu telah digunakan dan alhamdulillah telah berjaya mendapat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000.00. Dengan pinjaman ini, anak keempat saya telah berhenti dari IPTA tersebut dan sambung belajar ke luar negara.Namun saudaraku, saya masih terus berusaha agar pembiayaan belajar anak saya terlepas dari unsur riba.Saya telah berurusan dengan Yayasan Terengganu. Alhamdulillah, perjumpaan berjaya diaturkan antara saya dan anak dengan YAB Menteri Besar Terengganu. Datuk Ahmad Said, Saya terkejut bila YAB MB berkata, “Anak awak ini dean list student, kalau saya tak bantu dia nak belajar, tak layak saya jadi Menteri Besar.”Inilah ungkapan yang saya anggap lahir dari insan yang benar-benar menggunakan ‘masa’ yang di berikan Allah SWT kepadanya sebagai pemimpin ketika berkuasa.Dengan sokongan YAB Menteri Besar, anak saya telah mendapat tajaan dari Yayasan Terengganu.Berita baik ini saya sampaikan kepada anak saya tetapi saya mulai perasan akan wujudnya kelainan cara beliau menyambut berita gembira ini.Saudaraku, mungkin ini yang dikatakan naluri hati seorang bapa.

Setelah menghabiskan kertas akhir peperiksaan, anak saya balik ke Malaysia dan tinggal bersama saya dan keluarga dengan sikap yang berbeza.Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, anak saya terpaksa membuat ‘re-submit paper’.Dia kemudiannya, dengan sikap memberontak, meminta izin untuk ke Kuala Lumpur (KL) agar mudah berurusan mendapatkan sumber rujukan dan bantuan rakan-rakan bagi tujuan re-submit.Apabila balik semula ke Trg berlaku perubahan yang lebih nyata dan mendadak.Kali ini perwatakan anak saya amat berbeza dengan perangai dan perilaku beliau yang lemah lembut dan penyayang.Sikap kasar beliau semakin menjadi-jadi.Beliau langsung tidak menghormati kami ibu bapa dan keluarga beliau sendiri.Anak saya ini sentiasa dengan sikap marah, tidak puas hati, berontak dan keluh kesah berpanjangan.Akhirnya,beliau hendak ke KL konon untuk mencari ketenangan dan mengatakan ingin berjumpa abang sulungnya.Pemergian beliau ke KL kali ini menimbulkan syak yang amat mendalam kerana beliau langsung tidak menghubungi kami lebih dari seminggu.Saya dan keluarga bersusah payah mencari dan menghubungi sesiapa sahaja untuk menemui kembali anak saya.Perasaan bimbang, keliru dan kecewa, segalanya bercampur di ketika itu.Hanyalah berserah pada ketentuanNya namun kami tetap berusaha dan tawakkal.

Saudaraku, saya kemudiannya menyuruh adiknya(anak kelima) ke KL untuk menjejaki beliau.Alhamdulillah,si adik berjaya menemui kakaknya yang bersama dengan Kamran.Namun, kakaknya sudah seperti lembu ditarik hidung.Beliau hanya mematuhi Kamran sehingga tergamak menghantar adiknya itu ke sebuah hotel murahan sarang pelacur di KL.Saudaraku sekalian, bayangkan perasaan saya sekeluarga ketika itu.Kami sekeluarga terpana dan seribu macam perasaan lainnya.Namun,alhamdulillah Allah masih sayangkan kami.Dengan meminta bantuan polis,seramai 20 anggota polis membantu kami dan berjaya mengeluarkan adiknya dari situ. Kesyukuran dengan limpahan air mata saya dan keluarga panjatkan.Seterusnya,hasil dari bantuan polis juga pada malam yang sama, kami dapat mengesan dimana anak saya yang menjadi mangsa Kamran berada.Atas hasutan Kamran, beliau telah membuat laporan membantah terhadap kami. Dalam kesyukuran atas keselamatan si adik, kini keselamatan si kakak perlu diutamakan kembali.Kami bergegas ke Balai Polis yang dimaksudkan,dan Kamran menghilangkan diri sebaik sahaja melihat ibu dan abang sulung beliau masuk ke balai. Keadaan beliau pada ketika ditemui nyata tidak terurus.Hati ibu terus sayu apabila melihat keadaaan si anak yang di kandungnya 9 bulan 10 hari, yang dibesarkan dengan harapan tinggi, yang didoakan mendapat kesejahteraan menjadi lemah tidak bermaya hinggakan menitis banjir air mata seorang ibu. Saudaraku, saat pertemuan itu amatlah sukar untuk diolah dan ditafsirkan.Hati ibu yang mengetahuinya.Hati abang yang selama ini menjaga adik-adiknya yang merasa kesannya,dan pastinya hati-hati semua saudaraku yang seagama denganku, sebangsa denganku dan senegara dapat merasakannya.Diketika itu, matlamat kami hanya inginkan kembali anak kami.Tiada yang lain.Pegawai-pegawai polis bertugas dibalai ketika itu turut memaklumkan bahawa anak saya hanyalah menurut setiap patah perkataan dan arahan dari Kamran tanpa membantah. Ketahuilah saudaraku, Kamran pula secara berani dan berdepan telah mencabar dan mengugut pihak polis mempercepatkan menerima repot anak saya dengan ugutan dia (Kamran) mengenali ‘orang dalam’ yang mana berkuasa menghentikan mereka (polis-polis dibalai ketika itu) dalam masa 24jam. Kamran telah menghubungi ‘orang dalam’ yang dia maksudkan dan seketika kemudiannya, anggota bertugas malam itu telah menerima arahan melalui telepon agar menerima repot anak saya seadanya. Dengan apa yang terjadi di dalam balai ini, sememangnya terbukti Kamran faham tentang undang-undang dan selok belok akta Polis Malaysia sepertimana kata-kata yang pernah di ungkapkannya bahawa ‘Dengan orang meLAYU, banyak perkara boleh di lakukan asalkan pandai dan berani’.Saudaraku, ini adalah ungkapan yang sungguh biadap dan menghina bangsa kita.

Wahai saudaraku, sekembalinya kami ke Trg, saya dikehendaki membawa anak saya ke balai untuk siasatan lanjutan.Kami patuh pada arahan pihak polis.Atas keprihatinan mereka (polis-polis dibalai K.Trg), kami disarankan mengubati anak saya terlebih dahulu berikutan keadaan beliau yang lemah, tidak bermaya dan tidak normal.Alhamdulillah, saya sebagai seorang ‘guru silat’ juga faham serba sedikit akan langkah pemulihan dan perubatan yang perlu dilakukan. Dalam pada masa yang sama, bantuan pihak lain tetap sangat saya harapkan dan usaha diteruskan dengan ikhtiar pemulihan dari salah seorang pakar perubatan tradisional yang tersohor di Trg .Beribu kesyukuran saya dan keluarga panjatkan atas bantuan pemulihan dari beliau.

Saudaraku sekalian,pada 25.11.2009, saya telah menghubungi Kamran melalui pekerjanya kerana meminta dia memulangkan kembali kesemua barangan peribadi anak saya sepertimana repot yang dinyatakan.Seperti kita sedia maklum, apabila barangan milik kita berada di tangan orang lain,maka dengan mudahnya pihak itu boleh menggunakannya untuk tujuan jahat, penganiayaan serta ilmu hitam seperti sihir untuk melemahkan dan memperdayakan seseorang.Disini,saya amat yakin, bahawa inilah yang terjadi pada anak saya.Dianiaya oleh warga asing.Berikutan itu, pada pertama kalinya berhadapan di dalam kamar mahkamah,(19.01.2010)saya dan anak telah menuntut kembali barangan itu, namun tidak di endahkan.Saya buntu kepada siapa lagi untuk mengadu masaalah ini.Saya berusaha bertungkus lumus mengharapkan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa yang mana saya dan anak telah mengadu dan merayu untuk perhatian hingga ke Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan PenguatKuasa Jabatan Emigresen di Putrajaya,namun amatlah hampa dan kecewa apabila di maklumkan mereka tidak ada kuasa untuk bertindak kerana terbatas pada akta-akta yang sedia ada.Saudaraku,pembelaan dan perlindungan yang kami harapkan, tetapi kesedihan yang kami dapat.

Ketahuilah saudaraku, Kamran telah dengan berani mencabar maruah seluruh keluarga saya dengan menggunakan cara jijik dan mungkar dengan ‘menghalalkan segala cara untuk matlamat diri’.Sebelum ini, Kamran menggunakan alasan mazhab bagi membenarkan tindakan biadap dia, kini dia berpaut pada undang-undang negara kita Malaysia untuk mengesahkan dan menukar tindakan keji dia menjadi benar. Persoalannya “Sikap biadap mereka mungkin di sebabkan oleh pandangan hina bahawa bangsa kita yang meLAYU.Benarkah begitu?Tentu sekali TIDAK wahai saudaraku semua!!!”Untuk perhatian semua wahai saudara seagamaku, sebangsaku dan anak watan negaraku, kami akan bersemuka lagi di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 APRIL 2010, jam 9.00 pagi. Saya memaparkan kisah yang mengaibkan saya dan keturunan saya ini demi menyahut “Amal Makruf Nahi Mungkar”, agar saya bertindak mengikut ketetapan yang diajarkan Nabi saw untuk mencegah mungkar itu bermula dengan tenaga, kemudian lisan dan terakhirnya hati. Saya mendoakan agar hati kita terbuka dan ‘hidup’ sebagai generasi yang mempertahankan Natrah, peristiwa berdarah di bumi Temasik, kini di kenali sebagai Singapore tidak dipersendakan oleh sistem perundangan ciptaan manusia.Saya momohon hidayat Allah swt agar tindakan saya mempertahankan maruah keluarga saya,mazhab ikutan saya dan undang-undang Negara saya berada dilandasan ‘ihdinassiratalmustaqim” semoga dengan itu saya mampu berdiri di mahkamah Allah swt di akhirat nanti, InsyaAllah.Justeru itu, saya sekeluarga di sini sejujurnya dengan seikhlas hati memohon merayu dan mengharapkan sokongan, bantuan, dan iringan doa dari semua pihak agar kita tidak seperti anggapan mereka, seterusnya semoga kita semua akan dikurniakan hidayah penyatuan hati dari Yang Esa untuk memartabatkan ISLAM di Negara kita, dan keTUANan Bangsa kita.Dengan berjuta pengharapan dimohon semua yang ada supaya bersertalah bersama saya dan keluarga menuntut keadilan.


Ya Allah,, Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu,Hati ini telah berpadu,Bersatu memikul beban dakwahMu

Hati ini telah mengikat setia,Untuk mendaulat,Untuk mendokong SyariatMu di alam maya,Maka Ya Allah,Eratkanlah ikatan yang ada,Kekalkanlah kemesraan yang ada,Tunjukkanlah jalan yang benar,Penuhkanlah dengan cahayaMu,Tiada malap terangi alamMu,Hidup suburkanlah dengan makrifatMu,Tapi jika ingin mematikannya,Matikanlah sebagai Syuhada’Dalam perjuangan menegakkanAgama yang mulia,Ya Allah,Engkau lah sebaik-baik sandaran,dan sebaik-baik penolong ya Allah,Perkenankanlah permintaan ini,Amin ya rabbal A'alamin.

(Doa Rabitah_Al-Mathurat)