Bismillahir-Rahmanir-Rahim....
dengan nama Allah yang Mahapengasih lagi Mahapenyayang
WAHAI MANUSIA!
DENGARLAH BAIK-BAIK APA YANG HENDAK AKU KATAKAN
Apabila disingkap kembali lembaran sejarah sejak awal kejadian umat manusia sebermula dari zaman Nabi Adam a.s. sehingga ke masa kini, demi sesungguhnya ucapan seruan (ya aiyuhan naas) 'wahai manusia' hanyalah ditauliahkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw. Kata seruan 'wahai manusia' yang dilafazkan oleh baginda Rasulullah saw ditujukan kepada seluruh umat manusia penghuni alam maya ini yang hidup sezaman dengan baginda saw berterusan tanpa putus dan sempadan sehingga ke tiupan sangkakala yang akan menghancurleburkan seluruh alam ini demi benarnya janji Allah swt bahawa hari kiamat akan berlaku. Dakwah baginda saw untuk seluruh umat manusia tanpa batasan bangsa, bahasa pertuturan , amalan adat budaya cara hidup, perbezaan warna kulit hatta jarak kediaman bumi tempat berpijak dan langit tempat dijunjung menumpang menyedut udara menyambung hayat hidup didunia ini. Baginda saw mempelopori secara praktikal pengertian dunia tanpa sempadan.
Para Rasul dan Nabi yang dibangkitkan sebelum baginda Rasulullah saw hanya mendapat mandat menyebarkan risalah tauhid kapada kaum mereka masing-masing. Para Rasul dan Nabi terdahulu diutus berdakwah dalam lingkungan seruan 'wahai kaum-ku'. Baginda Rasulullah saw diutus sebagai penutup risalah kenabian untuk membimbing seluruh umat manusia menuju kejalan yang benar. Baginda saw mendapat pengiktirafan Allah swt sebagai pembawa rahmat untuk semesta alam, bukan hanya kepada umat manusia.
Khutbah terakhir baginda Rasulullah saw dimulai dengan seruan, 'wahai manusia'....diikuti dengan pesanan...'dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan'. Baginda Rasulullah saw amat mencintai umat manusia dan berusaha menunjuk ajar umat manusia agar mencapai kesejahteraan dan keselamatan dunia dan akhirat. Baginda Rasulullah saw mengajak kita semua agar mendengar sebaik-baiknya apa yang hendak baginda katakan kerana.......
AKU TIDAK MENGETAHUI APAKAH AKU DAPAT BERTEMU LAGI DENGAN KAMU SEMUA SELEPAS TAHUN INI, OLEH ITU DENGARKANLAH DENGAN TELITI KATA-KATA KU INI DAN....
Ungkapan Baginda saw ini bernada sayu seandai dihayati dengan neraca iman. Baginda saw risau kan umat nya yang diharapkan untuk meneruskan risalah tauhid selepas saat itu. Baginda saw mengharapkan umat yang mendengar dan mentaati ( sami'na wa ata'na). Amat wajar baginda saw mengharapkan umat manusia memberi penumpuan terhadap ucapan dan kata-kata baginda saw, kerana tugas baginda saw hanya menyampaikan (tabligh) dan Allah swt yang Mahakuasa terhadap urusan hati umat manusia.
Umat manusia keseluruhannya , tidak terkecuali 'aku' sendiri amat lemah dan terlalu berhajat. Seluruh kita punya sifat LUPA. Sebagai pengimbangi malahan mengatasi sifat 'lupa' ini, Allah swt , Khalik yang mencipta makhluk Nya, menghadiahkan hamba yang bersifat 'lupa' itu dengan jadual peraturan beribadat yang mampu mengangkat darjat kemanusiaan ini kemaqam 'mulia'. Jadual hebat dari Allah swt ini merangkumi setiap saat kehidupan sehingga kepada denyutan nadi dan jantung, kitaran nafas yang keluar dan masuk, anggota yang bergerak dan ketika diamnya, pancaindera yang sedang berfungsi dan direhatkan, rutin harian sebermula dari mencelikkan mata semasa bangun dari tidur sehingga dilelapkan kembali untuk tidur sebagai istirehat sementara, seterusnya kepada jadual peraturan hidup mingguan, bulanan, tahunan sehinggalah kepada hanya sekali seumur hidup. Semua caturan jadual menjalani kehidupan dimuka bumi ini ditunjuk ajarkan kepada seluruh umat manusia oleh baginda Rasulullah saw agar mudah menjadi contoh dan teladan untuk diikuti. Amat besar jasamu kepada 'aku' ya Rasulullah, amat wajar 'aku' sentiasa berselawat untuk mu wahai Nabi Kekasih Allah.
Amat hiba nada yang beralun mengucapkan....'aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat bertemu dengan kamu semua selepas ini' bagi jiwa-jiwa yang mencintai baginda Rasulullah saw. Lambang dan gambaran perpisahan yang bakal terjadi disuarakan oleh Baginda saw agar kata dan ucapan baginda saw kekal didengar dan ditaati sepanjang zaman . Lantaran saat perpisahan yang bakal menjelang, khutbah itu diteruskan dengan perintah suruhan....
SAMPAIKANLAH IA KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK DAPAT HADIR DISINI PADA HARI INI.
Wasiat ini telah berjaya dilaksanakan oleh angkatan yang mendahului kita. Buktinya, kita hari ini beragama Islam. Dan, disaat ini, kita sedang menghayati dengan hati yang kusyuk setiap patah kata ungkapan khutbah terakhir Nabi Muhammad saw. Mereka telah menunaikan tugas dengan sebaiknya. Mereka dengar dan mereka taat. Adakah kita juga macam mereka? Usaha dakwah mereka yang dilakarkan dengan perahan peluh sebagai da'ie dan titisan darah sebagai syuhada telah membawa sinar Iman dan Islam menerangi seluruh permukaan bumi. Jasa yang mereka tinggalkan telah mengimarahkan seluruh permukaan bumi yang bulat berpusing diatas paksinya ini sentiasa berkumandang tanpa hentinya dengan laungan seruan 'Azan' silih berganti berhubungan menghiasi alam. Itulah mereka....rombongan yang telah mendahului kita.
Jalan yang dirintis oleh Rasulullah saw telah membawa kejayaan gemilang kepada umat Islam zaman lampau lantaran mengambil teladan setiap peninggalan baginda saw. Mereka menyambung tugas menyebarkan (tabligh) risalah tauhid kepada umat manusia tanpa rasa takut dan ragu kerana mereka hanya takut kepada Allah saw. Mereka mempraktikkan slogan dijadikan pegangan iaitu, "apabila menjalankan urusan manusia, takutlah kamu kepada Allah, dan apabila melaksanakan urusan Allah, jangan takut kepada manusia"
Umat terdahulu yang berada dilembah Uranah, Arafah, pada 9hb. Zulhijjah tahun 10 Hijrah telah menunaikan amanah menyampaikan kata-kata Rasulullah saw kepada mereka-mereka yang tidak dapat bersama hadir mendengar khutbah ini terus langsung dari baginda Nabi saw. Amalan dakwah menyampaikan ini diteruskan oleh umat pelapis dari satu generasi kepada yang lain selepasnya berterusan hingga kezaman kita kini. Kita sedang meraih bakti yang disemai mereka yang terdahulu. Kita kini sedang membicarakan khutbah akhir baginda Rasulullah saw. Apakah generasi mendatang selepas kita akan juga mampu menghayati khutbah terakhir Nabi saw asbab usaha kita menunaikan suruhan Nabi saw. Apakah kita akan mampu meniru lakaran perjalanan para mujahid dan dai'e yang telah memahat sejarah kegemilangan Islam dan mencipta tamadun peradaban insan berteraskan ajaran Al-Quran. Sejarah silam umat Islam amat membanggakan. Lakaran sejarah itu sudah terpahat dalam lipatan ketamadunan umat manusia menghuni alam yang terbentang luas ini. Keindahan alam maya ciptaan Allah swt ini telah pernah dihiasi oleh peradaban halus murni dengan akhlak terpuji penghuninya. Umat manusia pernah dinaungi keberkatan ajaran dan amalan hidup pimpinan agama Islam. Teduhan rahmat kesejahteraan tersebar luas bersama tersebarnya risalah tauhid meng Esa kan Allah swt dan meng Aku i kerasulan nabi Muhammad saw.
Zaman gemilang Islam menerajui kompas peradaban insan telah pupus bersama keruntuhan satu demi satu kerajaan Islam. Bersama tumbangnya negara yang mendaulatkan syiar perlembagaan Islam. Zaman umat Islam mentadbir alam hanya seronok diceritakan sebagai kenangan indah. Zaman umat Islam digeruni musuh dan disegani kawan telah tinggal kisah silam bak gurindam seloka dendangan Tok Selampit penghibur hati yang lara. Perhatikan sekitar kita. Rumah kita.Jiran kita. Kampung kita. Pekan kita. Bandar kita. Negeri kita. Negara kita. Kini 'aku' mengajak kita keluar dari kepompong kita. Jom, kita teropong dari atas. Oh...I...see. (OIC). Kita bukan lagi sekadar ....dengar....tapi...lihat. Jelas sejelas-jelasnya, sabda Nabi Muhammad saw itu benar....kamu lemah, kamu mampu diratah oleh musuh-musuh mu walau pun kamu ramai kerana keadaan ramainya kamu laksana buih yang terapong dilaut yang akan hilang bila tiba kepantai.....Amat sedih 'aku' melihat fenomina ini. Walhal, bumi ini diamanahkan kepada umat Islam. Apakah umat Islam kini ketandusan pemimpin saperti Salehuddin Al-Ayubi atau pun saperti Sultan Muhamed Al-Fatih. Nama-nama hebat ini telah melakar sejarah kehebatan umat Islam beratus tahun selepas kewafatan baginda Rasulullah saw. Sesungguhnya 'aku' sedar, mereka bukan lahir sezaman dengan baginda Nabi saw. Mereka itu sama macam 'aku', tidak dapat hadir bersama ketika khutbah terakhir disampaikan. Mereka itu sama macam 'aku'. mendengar khutbah terakhir dari orang lain. Akan tetapi, mereka itu tidak sama dengan 'aku' kerana merekalah pelakar sejarah kecemerlangan umat Islam mentadbir alam. Apa yang kekal sama antara 'aku' dan mereka ialah amanah yang dipertanggung jawapkan untuk dilaksanakan.Persoalannya kini, mampukah 'aku' melaksanakan tugas murni ini disaat Islam tidak lagi berkembang indah dan wangi akan tetapi semakin tertekan, menguncup dan melayu. Ya Allah, bantulah 'aku' menunaikan janji kesanggupan menerima amanah yang tidak sanggup diterima oleh gunung-ganang dan seluruh makhluk Mu selain umat manusia....
WAHAI MANUSIA,
SEPERTI MANA KAMU MENGANGGAP BULAN INI DAN KOTA INI SEBAGAI SUCI, MAKA ANGGAPLAH JIWA DAN HARTA ORANG MUSLIM SEBAGAI AMANAH SUCI
Baginda Rasulullah saw terus menyeru seluruh umat manusia dengan seruan 'wahai manusia'. Baginda saw mempersaksikan peristiwa hebat khutbah terakhir ini untuk benar-benar dihayati oleh seluruh umat manusia, sehinggakan baginda saw memberikan perbandingan kepada tempat dan ketika khutbah ini disampaikan. Bulan yang dipilih untuk menunaikan fardhu haji adalah bulan yang suci. Itulah bulan yang secara mutlaknya dianggap bulan rasmi para tetamu Allah bertandang kemajlis perjumpaan dengan Khalik Pencipta dibumi suci tempat terletaknya Kaabah. Kelebihan bumi Mekah mendahului bumi Madinah tempat terletaknya masjid Nabawi diikuti selepasnya bumi suci Baitul-Maqdis tempat terletaknya Masjidil Aqsa. Mahasuci Allah yang memfardhukan ibadat dan rukun haji hanya dapat dilaksanakan pada tempat dan masa yang telah ditentukan Nya. Mahasuci Allah yang Mahamengetahui akan segala rahsia suruhan Nya dalam menunaikan ibadat haji itu. Perkara yang tersirat dialam rahsia ini dibongkar oleh Baginda Nabi saw sebagai bulan yang suci dan kota yang suci. Islam amat mementingkan kebersihan akan tetapi tahap 'suci' adalah sesuatu yang menjadi wajib untuk kelayakan peroses seterusnya dalam menunaikan ibadat. Renungkanlah sabda Nabi saw yang bermaksud..."kesempurnaan wuduk itu akan menggugurkan kotoran dosa hatta kepada yang dari bawah kuku"... Sesungguhnya bukanlah satu kerja mudah untuk membuang kotoran dari bawah kuku , kerana tidak mampu kotoran itu terhakis oleh gosokan sabun dan air basuhan. Kotoran dari bawah kuku hanya dapat dikeluarkan apabila dicungkil dengan alat yang sesuai sahaja. Akan tetapi , Nabi Muhammad saw sebagai pembawa rahmat untuk semesta alam memberitahu seluruh umat manusia suatu perkara yang tersirat dari perbuatan lahir ini. Kotoran dan dosa mampu gugur jatuh mengikut aliran air yang 'suci' lagi menyucikan .Kesucian adalah punca segala amalan yang bakal dilaksanakan mampu berada dilandasan pengiktirafan. sebermula dari sucinya batang tubuh dari segala yang syubhah apatah lagi yang haram, kepada sucinya tempat berpijak buat mendirikan saksi pengabdian kepada Ilahi. Suci pakaian dan rumah kediaman yang sewajarnya menerima jolokan 'rumah ku syurga ku'. Suci hati dari segala perkara yang menjurus kepada was-was apatah lagi menolak kebenaran yang bersumberkan wahyu. Dari hati dan jiwa yang suci akan lahirlah keikhlasan. Kemuncak pancaran hati yang suci bersih bersemadi pada muwujudkan persaudaraan Islam yang bertunjangkan Iman dan Taqwa. Perpaduan dan penyatuan hakiki telah diterajui Baginda Rasulullah saw iaitu mempersaudarakan Muhajjirin dan Ansar. Hati suci kedua golongan ini berfitrahkan persamaan pegangan hidup, amalan hidup dan tujuan hidup. Mereka mengasehi orang lain seperti mereka mengasehi diri sendiri. Landasan yang membawa mereka kepada perpaduan yang maha hebat ini ditunjuk bimbing oleh baginda Rasulullah saw. Jalan 'suci' yang menjadi laluan mereka ialah satu akidah , satu syariat , satu kiblat, mereka menyembah Allah yang Esa, mereka berimamkan Rasulullah saw, ikutan mereka ialah Al-Quran, lalu menjadilah mereka bersaudara sebagai saudara sesama Islam meskipun mereka bercakap dengan bahasa pertuturan yang berbeza kerana mereka datang dari bangsa dan budaya yang berlainan. Namun , mereka bersatu dibawah panji-panji Islam. Renungilah soaljawab yang pasti akan dilalui oleh setiap jiwa tatkala berada dialam barzakh. Seandai kertas soalan untuk mana-mana ujian didunia ini akan dikawal rapi agar tidak bocor sebelum masa peperiksaan, amat berbeza sekali dengan soalan dari malaikat bertanyakan hal yang sama kepada seluruh yang telah berpindah alam dari hidup kepada mati. Yang ketika didunia ini ditatang disanjung dengan pelbagai gelaran kehormatan akan tetapi akan kembali kealam barzakh dengan gelaran 'mayat' dan 'almarhom' sahaja. Soalan yang wajib dijawab telah lama bocor. Telah dibocorkan oleh pembawa rahmat untuk semesta alam. Soalan itu berkaitan dengan urusan hati. Oleh itu sucikanlah hati agar insya Allah akan mudah menjawap dengan fasih soalan-saolan bocor itu . Pertanyaan bermula dengan , siapa Tuhan kamu? siapa imam kamu? siapa saudara kamu? dan apakah kiblat kamu? Itulah diantara soalan yang wajib dijawap oleh setiap jiwa yang pernah menumpang hidup dibumi indah permai ciptaan Allah swt ini. Sediakanlah bekalan.
Sesungguhnya, telah dikhabarkan juga oleh Nabi saw, satu keadaan yang wajib dilalui sebelum menjawap soalan-soalan bocor tadi. Keadan ini adalah kesinambungan dari wahyu pertama iaitu 'BACA" Disinilah bermulanya setiap jiwa dipertanggung jawabkan atas segala perlakuannya semasa hidup didunia. 'Aku' merasa amat kerdil apabila membicarakan saat permulaan kehidupan dialam barzakh. Betapa tidaknya! Ketibaan jiwa itu disambut oleh malaikat yang siap siaga dengan tugasannya. Ungkapan mula malaikat ini ialah....."Hai 'polan' tulis olehmu akan amal baikmu semasa hidup didunia, kemudian tulis olehmu akan amal burukmu pula". Bayangkanlah peristiwa yang wajib kita semua tempuhi ini. Simayat yang ketika hidup didunia amat petah memainkan kata dan hujah dengan lidah yang tak bertulang, masih mencari ruang berdalih. Simayat cuba bermuslihat, " Macamana aku nak tulis? Aku tak ada pena, aku tak ada dakwat, aku tak ada kertas" Ingatlah, Allah swt Mahakuasa. Malaikat petugas ini menjawab dengan perintah, "Gunakan jari mu sebagai pena, air liurmu sebagai dakwat dan secarik kain kapanmu sebagai kertas" Simayat akan menulis keseluruhan perjalanan hidupnya tanpa tertinggal satu apa pun dalam bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Kertas tulisan 'amal' ini dilipat oleh malaikat petugas lalu digantung dileher mayat dan akan dibuka untuk hisab dipadang mahsyar.
Sayugia diingat, Nabi Muhammad saw meletakkan jiwa dan harta orang muslim sebagai amanah suci.Dari segi istilahnya, 'jiwa' adalah yang berbentuk kerohanian , manakala 'harta' pula adalah yang berbentuk fizikal. Akan tetapi, setiap yang diucapkan oleh baginda Nabi saw terlalu amat luas pengertiannya demi ianya mencakupi yang tersurat dan tersirat. Lantaran ucapan Nabi saw adalah untuk kesejahteraan dan rahmat bagi seluruh alam. Sesuatu yang bersumberkan wahyu itu pastinya tidak terlepas dari yang bersifat 'muhkamat' dan 'mutasyabihat'. Apabila Nabi saw menegaskan bahawa anggaplah jiwa dan harta orang muslim itu sebagai amanah suci , maka 'aku' mengajak semua kita mencari kebenaran ungkapan ini. Lalu dengan penemuan itu bagaimana pula untuk 'amanah suci' itu mampu dilaksanakan.Ingat-lah! apabila jiwa dan harta itu diletakkan sebagai amanah suci, amat wajar diperluaskan pengertian jiwa yang bagaimana ? dan apa itu harta? Pada ruang hidangan bicara yang agak terhad ini, 'aku' hanya membataskan 'jiwa' itu sebagai muslim yang diredhai Allah swt. Jiwa yang berjaya melepasi soalan yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw yang bemaksud ...'tidak akan berganjak kaki seseorang anak adam di padang Mahsyar sehingga ia ditanyakan soalan'.....kemana umurmu kamu habiskan? dan bagaimana usia muda remajamu kamu pupuskan? Tentang urusan harta...'aku' lebih cenderung kepada persoalan....dari mana kamu perolehi harta dan kemana kamu belanjakan? dan ilmu yang kamu miliki bagaimana kamu gunakan?.
Untuk mencapai maqam keredhaan Allah swt, tidaklah seperti kejayaan didunia ini yang kadangkala diraih dengan cara yang jijik dan mengaipkan kerana ada yang menjadi mangsa dan teraniaya. Kedudukan dan status yang dicapai dengan cara yang tidak bermaruah kerana mengenepikan hak orang lain yang benar-benar berhak. Malah ada status kejayaan yang dibeli dan dirasuah untuk dimiliki. Semua ini berlaku kerana, kedudukan dan status seseorang didunia ini sering diukur dengan soalan 'apa kejayaan kamu?, lantaran itu ramai manusia yang terjebak keliru menempa nama sebagai seseorang yang memperolehi kejayaan tanpa memikirkan sumbangan kepada akidah dan agama Islam. Mereka itu ghairah mengukir sejarah tanpa meletakkan neraca penimbang halal dan haram sebagai pengukur hayat yang mereka lalui. Mereka mungkin 'LUPA' bahawa apabila disoal siasat dimahkamah Allah swt yang Maha Adil nanti, soalan "apa kejayaan kamu?" akan digantikan dengan soalan "apa yang kamu buat?" Pada penghujahan ini, 'aku' ingin mengajak kita semua merenung hikmah dijadikan seluruh anggota badan sebagai saksi kepada amal perbuatan semasa hidup didunia dan 'lidah' tidak lagi diizinkan untuk berfungsi maka dengan itu lidah tidak mampu untuk berhujah sebagai pembela. Allah hu Akbar.
Muslim yang memiliki jiwa yang suci itu sentiasa menjadikan pertemuan dengan Allah swt ialah hala tuju matlamat perjalanannya. Jiwa suci muslim ini menjadikan dunia ini sebagai rumah tumpangan tempat memuatkan bekal persaksian ibadat untuk dipersembahkan kepada Allah swt.Jiwa suci muslim ini menjadikan seluruh anggota badan beserta pancainderanya sebagai khadam suruhan yang hanya ta'at kepada perintah Allah swt. Jiwa muslim yang suci ini tetap setia dengan bai'ah mengabdikan diri kepada Allah. Jiwa muslim yang suci ini bersedia menitiskan darah suci sebagai syuhada sebagai tinta melakar sejarah detik persaksian bahawa semuanya dikorbankan untuk Allah dan Rasul. Muslim berjiwa suci amat maklum bahawa saat terbuktinya 'muslim itu suci' ialah apabila jasad para syuhada dikuburkan bersama darah dan pakaian ketika jiwa itu kembali kepada Allah swt. Jiwa muslim yang suci tahu bahawa alam kubur adalah pintu menuju alam akhirat. Seandainya berkeadaan suci ketika memasuki pintu itu, Insya Allah jiwa suci itu akan bersama Rahmat Allah.
KEMBALIKAN HARTA YANG DIAMANAHKAN KEPADA KAMU KEPADA PEMILIKNYA YANG BERHAK.
JANGANLAH KAMU SAKITI SESIAPA AGAR ORANG LAIN TIDAK MENYAKITI KAMU LAGI.
INGATLAH BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMU AKAN MENEMUI TUHAN KAMU, DIA PASTI MEMBUAT PERHITUNGAN DI ATAS SEGALA AMALAN KAMU.
ALLAH TELAH MENGHARAMKAN RIBA, OLEH ITU SEGALA URUSAN YANG MELIBATKAN RIBA DI BATALKAN MULAI SEKARANG.
BERWASPADALAH KAMU TERHADAP SYAITAN DEMI KESELAMATAN AGAMA KAMU.
DIA TELAH BERPUTUS ASA UNTUK MENYESATKAN KAMU DALAM PERKARA-PERKARA BESAR, MAKA BERJAGA-JAGALAH KAMU SUPAYA TIDAK MENGIKUTNYA DALAM PERKARA-PERKARA KECIL.
WAHAI MANUSIA!...
SEBAGAIMANA KAMU MEMPUNYAI HAK ATAS ISTERI KAMU, MEREKA JUGA MEMPUNYAI HAK DI ATAS KAMU.
SEKIRANYA MEREKA MENYEMPURNAKAN HAK MEREKA KE ATAS KAMU, MAKA MEREKA JUGA BERHAK DI BERI MAKAN DAN PAKAIAN DALAM SUASANA KASIH SAYANG.
LAYANLAH WANITA-WANITA KAMU DENGAN BAIK, BERLEMAH-LEMBUTLAH TERHADAP MEREKA KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH TEMAN DAN PEMBANTU KAMU YANG SETIA.
DAN HAK KAMU KE ATAS MEREKA IALAH MEREKA SAMA SEKALI TIDAK BOLEH MEMASUKKAN ORANG YANG KAMU TIDAK SUKAI KE DALAM RUMAH KAMU DAN DI LARANG MELAKUKAN ZINA.
WAHAI MANUSIA!...
DENGARLAH BERSUNGGUH-SUNGGUH KATA-KATAKU INI, SEMBAHLAH ALLAH.
DIRIKANLAH SEMBAHYANG LIMA KALI SEHARI SEMALAM, BERPUASALAH DI BULAN RAMADHAN, DAN TUNAIKANLAH ZAKAT DARI HARTA KEKAYAAN KAMU.
KERJAKANLAH IBADAH HAJI SEKIRANYA KAMU MAMPU.
KETAHUILAH BAHAWA SETIAP MUSLIM ITU SAUDARA KEPADA MUSLIM YANG LAIN.
KAMU SEMUA ADALAH SAMA, TIDAK SEORANG PUN YANG LEBIH MULIA DARI YANG LAINNYA KECUALI DALAM TAQWA DAN BERAMAL SOLEH.
INGATLAH, BAHAWA KAMU AKAN MENGHADAP ALLAH PADA SUATU HARI UNTUK DI PERTANGGUNGJAWABKAN DI ATAS SEGALA APA YANG KAMU KERJAKAN.
OLEH ITU, AWASILAH AGAR JANGAN SEKALI-KALI KAMU TERKELUAR DARI LANDASAN KEBENARAN SELEPAS KETIADAANKU.
WAHAI MANUSIA!...
TIDAK ADA NABI ATAU RASUL YANG AKAN DATANG SELEPASKU DAN TIDAK AKAN LAHIR AGAMA BARU.
OLEH ITU, WAHAI MANUSIA!
NILAILAH DENGAN BETUL DAN FAHAMILAH KATA-KATAKU YANG TELAH AKU SAMPAIKAN KEPADA KAMU.
SESUNGGUHNYA AKU TINGGALKAN KEPADA KAMU DUA PERKARA, YANG SEKIRANYA KAMU BERPEGANG TEGUH DAN MENGIKUT KEDUA-DUANYA, NESCAYA KAMU TIDAK AKAN TERSESAT SELAMA-LAMANYA.
ITULAH AL-QURAN DAN SUNNAHKU.
HENDAKLAH ORANG-ORANG YANG MENDENGAR UCAPANKU, MENYAMPAIKAN PULA KEPADA ORANG LAIN.
SEMOGA YANG TERAKHIR LEBIH MEMAHAMI KATA-KATAKU DARI MEREKA YANG TERUS MENDENGAR DARIKU.
SAKSIKANLAH YA ALLAH! BAHAWASANYA TELAH AKU SAMPAIKAN RISALAH MU KEPADA HAMBA-HAMBA MU.